Sabtu, 25 Oktober 2008

Isu Penghayatan Islam : 3 Kemuliaan Mengingati Mati

Dalam al-Quran Allah telah menyebut perkataan 'mati' terlebih dulu sebelum menyebut perkataan 'hidup'. Apabila seseorang itu sentiasa mengingati mati, maka dia akan lebih tenang menghadapi segala ujian Allah. Kematian adalah suatu perkara yang tidak dapat dihindari dengan apa cara sekalipun. Kematian bukanlah suatu kesudahan daripada segala-galanya. Sebenarnya ia adalah proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh (kubur) dan suatu kehidupan manusia dalam bentuk yang lain.
Mengingati saat kematian akan menenangkan manusia dan mengingatkan kita bahawa setiap yang hidup akan kembali kepada Allah.

Hakikatnya kematian memisahkan manusia daripada segala yang dikasihi dan dimiliki seperti anak-anak, harta benda dan kemewahan hidup. Bekalan yang dapat dibawa hanyalah amal salih yang dikerjakan ketika hidup di dunia ini. Sungguh rugi jika tidak melakukan amal ibadat ketika hidup di dunia ini. Ketahuilah Allah akan mengazabkan sesiapa saja yang lalai mengerjakan perintah-Nya. Allah berfirman bermaksud: "Tiap-tiap yang hidup akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Surah al-Anbia, ayat 35).

Sesiapa yang banyak mengenang perihal kematian akan diberi tiga sifat kemuliaan. Pertama, sentiasa bersegera melakukan taubat. Kedua, tidak tamak terhadap keduniaan. Ketiga, akan memiliki kesungguhan dan motivasi untuk beribadat. Sebaliknya, sesiapa mengabaikan perihal kematian, dia akan menerima tiga seksaan pedih atau tiga sifat kehinaan. Pertama, sentiasa menangguhkan taubat. Kedua, tidak memiliki sifat reda dan ketiga, malas melakukan amal ibadat. Sebelum ajal tiba, kadang kala seseorang itu ditimpa sakit atau kemalangan sebagai sebab musababnya. Perkara ini sengaja ditetapkan Allah sebagai peringatan. Demikian juga Allah mahu menguji hamba- Nya sama ada mereka melengkapkan diri dengan bekalan takwa dan iman atau masih leka dan lalai.

3 ulasan:

rabiatul berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Ummu Sulaim berkata...

Assalamualaikum...
sebagai seorang manusia yang setiap orang telah ditakhlifkan oleh Allah sebagai hambanya untuk beribadah kepadaNYA....

Ajal dan maut adalah ketentuan tuhan
yang pasti kita perlu terus mencari bekal dan keredhaanNYA....

NUR ASIAH BINTI ABDUL GHANI berkata...

setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya.. kita selalu membandingkan antara rakan-rakan siapakah yang lebih cepat mendirikan rumahtangga, tetapi tidak terfikir, siapakah yang paling awal di antara kita yang akan dijemput olehNYA.. Renungkanlah...